Saturday, August 15, 2009

LALAT LEBIH HEBAT DARI KITA

Allah Taala menurunkan Al-Quran untuk memberi hidayah (petunjuk) kepada manusia. Oleh itu, Al-Quran adalah kitab hidayah, bukannya sebuah kitab perubatan, kejuruteraan, astronomi atau kimia yang menghimpun dan merekodkan fakta-fakta ilmu itu. Tetapi ia adalah kitab hidayah dari ilahi untuk menunjukkan cara hidup dan tugas manusia. Al-Quran mendahului ilmu moden dalam membincangkan tentang manusia, tumbuh-tumbuhan atau mana-mana makhluk ciptaan-Nya.

Al-Quran menjelaskan fakta sebenar perkara-perkara tersebut, dengan bantuan kemajuan sains dan penemuan berterusan menggunakan peralatan dan perkakas moden, barulah mereka berjaya menemui fakta-fakta tersebut. Hasil penemuan tersebut didapati sama dengan fakta-fakta yang terdapat dalam Al-Quran. Dengan ini, kita dapat memahami bahawa Al-Quran telah mendahului ilmu moden. Ia menjadi bukti baru yang membuktikan kebenaran Al-Quran pada zaman kemajuan ilmu pengetahuan. Oleh itu, kita mengetahui bahawa Al-Quran diturunkan berdasarkan ilmu Allah Taala ia tidak dipalsukan dari mana-mana arah dan seginya.

Rasulullah S.A.W telah menyebut mengenai Al-Quran: "keajaibannya tidak akan hilang". Oleh itu, Al-Quran adalah baru pada setiap masa dan mempunyai keajaibannya pada setiap masa. Ini kerana ia adalah kalam Yang Maha Pencipta, Yang Maha Mulia, Yang Maha Bijaksana lagi Yang Maha Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya tentang semua benda.

Para penyelidik ilmu entomologi (kajian tentang serangga) telah mendedahkan bahawa lalat dibekalkan kelenjar air liur yang panjang dan mempunyai air liur yang amat banyak. Apabila lalat mengambil sesuatu makanan, air liur akan dikeluarkan dengan cepat bagi menukarkan segera kepada bahan lain. Sekiranya lalat mengambil sesuatu daripada kita dan kita mahu mengambilnya semula, kita tentu tidak mampu melakukannya. Ini kerana, lalat segera merembeskan ait liur setelah mengambilnya dan menukarkannya kepada benda lain. Sekiranya kita membunuh lalat tersebut, kemudian kita pegang dan mencari benda yang diambilnya, kita tidak akan menjumpai benda tersebut kerana ia telah bertukar kepada benda lain.

Adakah Al-Quran menyebut perkara ini?

Ya, Al-Quran telah menyebut perkara ini dan memberikan contoh yang menunjukkan kelemahan manusia. Firman Allah Taala yang bermaksud: "Wahai umat manusia, inilah diberikan satu contoh perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya, dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya, (kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkan-Nya)......... Al-Hajj: 73-74

Rahsia kejadian lalat ini hanya diketahui pada zaman sekarang. Tidak ada seorang pun yang mengetahuinya sebelum zaman kemajuan peralatan penyelidikan dan benarlah apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W, petunjuk dan panduan untuk sekalian umat manusia sepanjang zaman iaitu Al-Quran Al-Karim.

No comments:

Post a Comment