Saturday, June 20, 2009

AJARAN TASAWWUF DAN AMALAN TAREKAT


Rasulullah SAW diutuskan membawa rahmat untuk sekelian alam. Dengan didikan secara langsung dari Allah SWT, kesempurnaan keperibadiaan Rasulullah SAW merangkumi semua lapangan hidup manusia dari segi kekeluargaan, politik, ekonomi, sosial, akhlak dan sebagainya. Islam yang dibawa oleh Baginda sebagai menyambung tugas nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Dakwah yang digerakkan oleh Baginda secara hikmah dan berkesan telah memimpin manusia kepada cahaya akidah yang sebenar iaitu mentauhidkan Allah Azzawajalla.

"Sesungguhnye pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik"

Baginda telah mengajar umatnya ajaran tasawwuf 1400 tahun yang lalu bahkan sebelum Baginda dianggkat menjadi Nabi lagi. Ajaran tasawwuf yang diajar oleh Baginda ialah mengajak manusia mengamalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti pemaaf, sabar, jujur, bercakap benar, bersangka baik, menepati janji dan pada masa yang sama mendidik hati-hati manusia membuang sifat-sifat mazmumah (keji) saperti pemarah, khianat, bercakap bohong, buruk sangka, mungkir janji dan sebagainya. Dengan sifat-sifat terpuji yang ada dalam diri Baginda, maka tidak hairanlah Islam yang dibawa oleh Baginda mula mendapat tempat di hati masyarakat. Ini kerana, secara fitrahnya insan yang sihat dari segi akalnya mencintai sifat-sifat yang baik dan membenci sifat-sifat yang buruk.

Daripada catatan sejarah, kemunculan amalan tarekat berlaku selepas zaman Khulafa' Ar-Rasyidin. Pada kebiasaannya, nama-nama kumpulan tarekat ini dinisbahkan kepada pengasas kumpulan tarekat itu sendiri. Sebagai contoh, Tarekat Qadariah diasaskan oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani yang muncul pada abad yang ke-13 Masihi, Tarekat Naqsyabandiah diasaskan oleh Syeikh Muhammad Bahauddin Naqsyabandi Al-Uwaisi Al-Bukhari yang muncul pada abad ke-14 dan juga Tarekat Syattariah yang diasaskan oleh Syeikh Abdullah Syattar.

Oleh yang demikian, boleh kita katakan disini, ajaran tasawwuf adalah ajaran yang mendidik manusia membuang sifat-sifat yang keji dan menggantikannya dengan sifat-sifat yamg terpuji serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Adapun amalan tarekat adalah amalan yang mengandungi zikir-zikir yang terdiri daripada lafaz Allah SWT ataupun kalimah Lailaha Illallah yang mengikut bilangan tertentu, cara dan tertib yang tersendiri dengan berpandukan kepada seorang guru. Daripada amalan-amalan zikir ini secara berterusan, maka akan melahirkan sifat-sifat mahmudah dan menghakis sifat-sifat mazmumah seta melatih pengamal-pengamal tarekat mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Justeru itu, janganlah kite memandang remeh dengan sumbangan besar yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan tarekat ini dalam melahirkan hati-hati insan yang suci bersih. Berpeganglah dengan akhlak sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Pegangan yang kuat kepada kedua-dua kitab tersebut akan menjadikan umat Islam umat yang terbaik di dunia dan di akhirat. Selain itu, penguasaan dalam ilmu tauhid dan ilmu fiqh perlu diperkukuhkan untuk mengelakkan daripada berlaku penyelewengan dalam amalan tarekat dan penguasaan ilmu Bahasa Arab juga perlu dimantapkan kerana isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah dapat difahami dengan sempurna apabila kita dapat menguasai Bahasa Arab.

No comments:

Post a Comment