Sunday, July 27, 2008

KEDUDUKAN SOLAT DALAM ISLAM

Sudah menjadi perkara yang lumrah di kalangan masyarakat Islam bahawa solat merupakan tiang agama dan ia menjadi garis pemisah antara Islam dan bukan Islam, sehingga di akhirat nanti bahawa amalan manusia yang pertama di hisab oleh Allah Taala ialah solat sebagai mana sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Perhitungan yang mula-mula sekali dilakukan seorang hamba di akhirat nanti ialah solat. Jika baik solat maka baiklah segala amalan-amalan yang lain dan jika rosak solat maka turut rosak segala amalan yang lain"

Sabda Rasulullah lagi:

"Sesiapa menjaga solat dengan baik, solat itu memberi kepadanya cahaya, menjadi bukti dan bercahaya di akhirat nanti, jika sesiapa tidak menjaga solat tidak ada baginya cahaya, tidak ada baginya bukti dan kejayaan dan pada hari kiamat bersama Qarun, Firaun dan Ubai bin Khalaf"

Sabda Rasulullah lagi:

"Batas pemisahan antara seorang itu dengan kufur ialah meninggalkan solat"

Dari keterangan hadis di atas bahawa perintah solat ke atas setiap individu Muslim merupakan tanggungjawab yang paling besar dan utama terhadap Allah Taala malahan untung rugi nasibnya di alam akhirat bergantung kepada sejauh mana kesempurnaan solatnya, kerana Allah Taala menjadikan solat itu jalan untuk mencapai kemenangan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Menunaikan solat dengan sempurna itu akan memberi cahaya kepada hati, mendidik jiwa, mengajar seseorang itu akan adab-adab perhambaan dan menanamkan di dalam hati kebesaran Allah Taala.

Oleh itu setiap Muslim dan Muslimah hendaklah menunaikan solat masing-masing dengan betul dan sempurna sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Mereka mesti faham rukun dan syaratnya, sah dan batalnya, masbuk dan muwafiqnya dan jika dia menjadi makmum dan wajib dia mengetahui syarat-syarat menjadi imam jika dia hendak menjadi imam dalam solat jamaah dan jumaat.


HUKUM MENINGGALKAN SOLAT.

Memandangkan kedudukan solat adalah besar dan pokok agama, maka sebahagian sahabat Rasulullah dan sebahagian ulama tabien serta sebahagian daripada ulama kemudian berpendapat bahawa orang-orang Muslim yang meninggalkan solat dengan sengaja hukumnya kafir. Sahabat-sahabat yang berpendapat demikian seperti Umar bin Al-Khattab, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abbas, Muaz bin Jabal, Jabir bin Abdullah dan Abu Darda'. Tetapi sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja selama tidak mengingkari tentang wajibnya maka orang itu adalah fasik, tetapi dia hendakah dipenjarakan sehingga dia menunaikan solat supaya tidak menjadi ikutan yang buruk kepada orang lain.

Imam-imam mazhab berpendapat bahawa wajib dibunuh ke atas orang meninggalkan solat dengan sengaja sebagaimana dijelaskan oleh As-Syeikh Muhammad Ahmad dalam kitabnya "MIFTAHUL KHITOBAH WAL WA'ZU".

Imam-imam mazhab mengatakan wajib dibunuh orang meninggalkan solat kerana kekufurannya seperti Ahmad bin Ishak dan Mubarak. Manakala yang mengatakan wajib dibunuh kerana menjalankan hudud seperti Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Abu Hanifah. Inilah hukum syariat Islam ke atas mereka yang mengaku berlindung di bawah naungan Islam sedangkan mereka dusta kerana tidak menunaikan salah satu rukun yang terpenting itu. Bagi kita, sebagai seorang yang faham syariat Allah Taala tidak merasa terkejut dan aneh apabila mendengar hukuman terhadap mereka yang meninggalkan solat dengan kufur atau fasik. Bertambah jelas lagi apabila kita memperhatikan kepada sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Ikatan Islam dan asas-asa agama itu ada 3 perkara. Di atas inilah tertegaknya Islam, barangsiapa meninggalkan salah satu daripadanya maka dia menjadi kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat yang diwajibkan dan puasa di bulan Ramadhan".

*karangan daripada buku "Masalah muwafiq dan masbuk" yang ditulis oleh Ustaz Hasan bin Ahmad.

No comments:

Post a Comment