Sunday, August 16, 2009

MUWAFIK DAN MASBUK


Di dalam solat berjamaah sama ada berjamaah kerana menunaikan solat yang wajib seperti zohor, asar, magrib, isyak dan subuh atau kerana solat-solat sunat dengan berjamaah seperti solat sunat terawih, solat sunat gerhana matahari, solat sunat gerhana bulan dan lain-lain lagi. Bagi seorang makmum semasa berjamaah dengan imamnya, dia mesti berada dalam salah satu dari dua keadaaan, sama ada dia menjadi seorang muwafik(bersama) dengan imamnya atau masbuk(didahului) oleh imamnya, atau dengan lain perkataan bahawa setiap makmum kadang-kadang dia sempat bersolat bersama imamnya dari mulanya lagi dan kadang-kadang dia masuk berjamaah lewat sedangkan imam sedang solat atau kadang-kadang seorang makmum berniat berjamaah bersama imam pada awal takbiratul ihram lagi tetapi apabila sampai di pertengahan solat, makmum tersebut ditinggalkan oleh imamnya dengan sebab sesuatu hal.

Oleh itu, seorang makmum kadang-kadang dia menjadi seorang masbuk dah kadang-kadang dia menjadi seorang muwafik. Jika semasa dia menjadi seorang muwafik maka wajib keatasnya menjaga hukum-hukum dan syarat-syarat seorang muwafik. Jika tidak, solat makmum itu tidak sah dan batal. Begitu juga semasa dia menjadi seorang masbuk, berkewajipan keatasnya memelihara syarat-syarat seorang masbuk pula.

SIAPAKAH MAKMUM MUWAFIK DAN MASBUK?

Makmum muwafik ialah seorang makmum yang sempat berjamaah dengan imam semasa berdiri imamnya. Di mana dia sempat berjemaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan dia membaca surah Al-Fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan dikalangan uruf orang ramai. Bukan berdasarkan kepada bacaan makmum itu dan juga bukan berdasarkan kepada bacaan imamnya.

Makmum masbuk ialah seorang makmum yang tidak sempat berjamaah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca Al-Fatihah dan bacaan yang pertengahan. Tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, malahan perhitungan bacaan Al-Fatihah itu tidak berpandukan kepada bacaan imam dan tidak berpandukan bacaan makmum itu tetapi mengikut uruf orang ramai. Mana-mana makmum yang tidak sempat berjamaah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan dia membaca Al-Fatihah hingga selesai maka dinamakan makmum masbuk.

Sesungguhnya muwafik dan masbuk boleh berlaku ka atas makmum pada empat rakaat. Sama ada rakaat pertama, rakaat ketiga dan seterusnya rakaat keempat.

Saturday, August 15, 2009

LALAT LEBIH HEBAT DARI KITA

Allah Taala menurunkan Al-Quran untuk memberi hidayah (petunjuk) kepada manusia. Oleh itu, Al-Quran adalah kitab hidayah, bukannya sebuah kitab perubatan, kejuruteraan, astronomi atau kimia yang menghimpun dan merekodkan fakta-fakta ilmu itu. Tetapi ia adalah kitab hidayah dari ilahi untuk menunjukkan cara hidup dan tugas manusia. Al-Quran mendahului ilmu moden dalam membincangkan tentang manusia, tumbuh-tumbuhan atau mana-mana makhluk ciptaan-Nya.

Al-Quran menjelaskan fakta sebenar perkara-perkara tersebut, dengan bantuan kemajuan sains dan penemuan berterusan menggunakan peralatan dan perkakas moden, barulah mereka berjaya menemui fakta-fakta tersebut. Hasil penemuan tersebut didapati sama dengan fakta-fakta yang terdapat dalam Al-Quran. Dengan ini, kita dapat memahami bahawa Al-Quran telah mendahului ilmu moden. Ia menjadi bukti baru yang membuktikan kebenaran Al-Quran pada zaman kemajuan ilmu pengetahuan. Oleh itu, kita mengetahui bahawa Al-Quran diturunkan berdasarkan ilmu Allah Taala ia tidak dipalsukan dari mana-mana arah dan seginya.

Rasulullah S.A.W telah menyebut mengenai Al-Quran: "keajaibannya tidak akan hilang". Oleh itu, Al-Quran adalah baru pada setiap masa dan mempunyai keajaibannya pada setiap masa. Ini kerana ia adalah kalam Yang Maha Pencipta, Yang Maha Mulia, Yang Maha Bijaksana lagi Yang Maha Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya tentang semua benda.

Para penyelidik ilmu entomologi (kajian tentang serangga) telah mendedahkan bahawa lalat dibekalkan kelenjar air liur yang panjang dan mempunyai air liur yang amat banyak. Apabila lalat mengambil sesuatu makanan, air liur akan dikeluarkan dengan cepat bagi menukarkan segera kepada bahan lain. Sekiranya lalat mengambil sesuatu daripada kita dan kita mahu mengambilnya semula, kita tentu tidak mampu melakukannya. Ini kerana, lalat segera merembeskan ait liur setelah mengambilnya dan menukarkannya kepada benda lain. Sekiranya kita membunuh lalat tersebut, kemudian kita pegang dan mencari benda yang diambilnya, kita tidak akan menjumpai benda tersebut kerana ia telah bertukar kepada benda lain.

Adakah Al-Quran menyebut perkara ini?

Ya, Al-Quran telah menyebut perkara ini dan memberikan contoh yang menunjukkan kelemahan manusia. Firman Allah Taala yang bermaksud: "Wahai umat manusia, inilah diberikan satu contoh perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya, dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya, (kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya). Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang ditetapkan-Nya)......... Al-Hajj: 73-74

Rahsia kejadian lalat ini hanya diketahui pada zaman sekarang. Tidak ada seorang pun yang mengetahuinya sebelum zaman kemajuan peralatan penyelidikan dan benarlah apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W, petunjuk dan panduan untuk sekalian umat manusia sepanjang zaman iaitu Al-Quran Al-Karim.