Saturday, June 20, 2009

AJARAN TASAWWUF DAN AMALAN TAREKAT


Rasulullah SAW diutuskan membawa rahmat untuk sekelian alam. Dengan didikan secara langsung dari Allah SWT, kesempurnaan keperibadiaan Rasulullah SAW merangkumi semua lapangan hidup manusia dari segi kekeluargaan, politik, ekonomi, sosial, akhlak dan sebagainya. Islam yang dibawa oleh Baginda sebagai menyambung tugas nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Dakwah yang digerakkan oleh Baginda secara hikmah dan berkesan telah memimpin manusia kepada cahaya akidah yang sebenar iaitu mentauhidkan Allah Azzawajalla.

"Sesungguhnye pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik"

Baginda telah mengajar umatnya ajaran tasawwuf 1400 tahun yang lalu bahkan sebelum Baginda dianggkat menjadi Nabi lagi. Ajaran tasawwuf yang diajar oleh Baginda ialah mengajak manusia mengamalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti pemaaf, sabar, jujur, bercakap benar, bersangka baik, menepati janji dan pada masa yang sama mendidik hati-hati manusia membuang sifat-sifat mazmumah (keji) saperti pemarah, khianat, bercakap bohong, buruk sangka, mungkir janji dan sebagainya. Dengan sifat-sifat terpuji yang ada dalam diri Baginda, maka tidak hairanlah Islam yang dibawa oleh Baginda mula mendapat tempat di hati masyarakat. Ini kerana, secara fitrahnya insan yang sihat dari segi akalnya mencintai sifat-sifat yang baik dan membenci sifat-sifat yang buruk.

Daripada catatan sejarah, kemunculan amalan tarekat berlaku selepas zaman Khulafa' Ar-Rasyidin. Pada kebiasaannya, nama-nama kumpulan tarekat ini dinisbahkan kepada pengasas kumpulan tarekat itu sendiri. Sebagai contoh, Tarekat Qadariah diasaskan oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani yang muncul pada abad yang ke-13 Masihi, Tarekat Naqsyabandiah diasaskan oleh Syeikh Muhammad Bahauddin Naqsyabandi Al-Uwaisi Al-Bukhari yang muncul pada abad ke-14 dan juga Tarekat Syattariah yang diasaskan oleh Syeikh Abdullah Syattar.

Oleh yang demikian, boleh kita katakan disini, ajaran tasawwuf adalah ajaran yang mendidik manusia membuang sifat-sifat yang keji dan menggantikannya dengan sifat-sifat yamg terpuji serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Adapun amalan tarekat adalah amalan yang mengandungi zikir-zikir yang terdiri daripada lafaz Allah SWT ataupun kalimah Lailaha Illallah yang mengikut bilangan tertentu, cara dan tertib yang tersendiri dengan berpandukan kepada seorang guru. Daripada amalan-amalan zikir ini secara berterusan, maka akan melahirkan sifat-sifat mahmudah dan menghakis sifat-sifat mazmumah seta melatih pengamal-pengamal tarekat mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Justeru itu, janganlah kite memandang remeh dengan sumbangan besar yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan tarekat ini dalam melahirkan hati-hati insan yang suci bersih. Berpeganglah dengan akhlak sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Pegangan yang kuat kepada kedua-dua kitab tersebut akan menjadikan umat Islam umat yang terbaik di dunia dan di akhirat. Selain itu, penguasaan dalam ilmu tauhid dan ilmu fiqh perlu diperkukuhkan untuk mengelakkan daripada berlaku penyelewengan dalam amalan tarekat dan penguasaan ilmu Bahasa Arab juga perlu dimantapkan kerana isi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah dapat difahami dengan sempurna apabila kita dapat menguasai Bahasa Arab.

SOLAT BERJAMAAH


Solat berjamaah merupakan sunat mua'kad kepada kaum Muslimin dan juga adalah fardhu kifayah, jika sekiranya di dalam sebuah kampung dan mukim itu tidak ada mendirikan solat berjamah, semua penduduk kampung berdosa.

Solat berjamaah sangat penting dalam pengajaran Islam disamping ianya melaksanakan kewajipan kepada Allah Taala, berjamaah juga dapat melatih kaum Muslimin agar mereka berada di dalam kesatuan yang kukuh, iaitu kesatuan Islam yang menjadi kekuatan hidup mereka di dunia dan mendapat keredhaan Allah Taala di akhirat nanti. Solat berjamaah merupakan titik tolak permulaan bagi perpaduan umat Islam yang mana mereka harus panjangkan perpaduan mereka di luar solat di dalam semua lapangan hidup berdasarkan kepada Islam.

Solat berjamaah juga menunjukkan kepada kita bahawa Islam menghendaki umatnya berada di dalam barisan Islam, berganding bahu di dalam menjunjung perintah Allah Taala serta melaksanakan syariatnya tanpa mengira kedudukan dan pangkat serta berlainan bahasa dan warna kulit.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah semuanya dan jangan berpecah-belah"

Solat berjamaah merupakan salah satu dari tali Allah yang diperintah supaya kita sebagai umat Islam berpegang dengannya dalam hidup pada setiap hari. Diriwayatkan dari Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda:

"Solat berjamaah itu lebih baik daripada solat seorang diri 27 ganda ganjaran pahala"
Daripada Abi Darda', menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda:

"Tiada 3 orang dalam sebuah kampung yang tidak mendirikan solat berjamaah melainkan dipengaruhi oleh syaitan, maka oleh itu hendaklah kamu mendirikan jamaah"

Jelas sekali hikmah dan faedah solat berjamaah amat banyak sehingga digandakan ganjaran pahala 27 kali. Walau bagaimanapun, kaum Muslimin dan Muslimat perlu mengambil ingatan bahawa di sana banyak hadis-hadis dari Rasulullah menerangkan kepada kita sebab-sebab yang membawa kecacatan solat berjamaah serta tidak diterima oleh Allah Taala.

Sebagaimana hadis dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah bersabda:

"3 jenis tidak di angkat solat mereka walaupun sejengkal dari kepala iaitu seorang lelaki menjadi imam solat kepada kaum sedangkan kaum itu tidak suka kepadanya(kerana kekurangan yang ada padanya), seorang perempuan yanga tidur waktu malam dalam kemarahan suaminya dan dua saudra yang berkelahi".

Untuk menjadikan solat berjamaah itu lebih sempurna diperturunkan sedikit panduan untuk para imam antaranya:

* Jangan menjadi imam jika para makmum kurang senang terhadapnya atau tidak bersetuju kepadanya.

* Jangan naik kehadapan menjadi imam kalau ada di belakangnya orang yang fakih daripadanya kecuali orang itu tidak ingin menjadi imam.

* Bila menjadi imam hendaklah berikhlas kepada Allah Taala sebagai seorang menunaikan amanah.

* Sebelum mengangkat takbiratul ihram hendaklah dia memeriksa saf-saf supaya rapat.

* Imam hendaklah mengangkat suara ketiak melafazkan takbiratul ihram dan juga apabila menyebut takbir-takbir perpindahan rukun fi'li kepada rukun lain.

Diutamakan imam dalam solat berjamaah itu mengikut susunan tertib seperti berikut:

1. Fakih (yang lebih alim ilmu fikah)
2. Qari (yang pandai membaca Al-Quran)
3. Wara'
4. Yang lebih lama berhijrah ke kampung Islam
5. Yang lebih lama memeluk Islam
6. Yang lebih bersih pakaian dan badan serta lebih bersih pekerjaan dari kekotoran dan daki- daki.
7. Yang mempunyai suara yang elok
8. Yang cantik rupa paras. Jika ada persamaan dalam keelokan menjadi imam,umpamanya sama-sama elok bacaan Al-Quran hendaklah di utamakan orang yang lebih wara' dan seterusnya.
9. Jangan tolak menolak menjadi imam.


*karangan daripada buku "Masalah muwafiq dan masbuk" yang ditulis oleh Ustaz Hasan bin Ahmad.