Sunday, July 27, 2008

KEDUDUKAN SOLAT DALAM ISLAM

Sudah menjadi perkara yang lumrah di kalangan masyarakat Islam bahawa solat merupakan tiang agama dan ia menjadi garis pemisah antara Islam dan bukan Islam, sehingga di akhirat nanti bahawa amalan manusia yang pertama di hisab oleh Allah Taala ialah solat sebagai mana sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Perhitungan yang mula-mula sekali dilakukan seorang hamba di akhirat nanti ialah solat. Jika baik solat maka baiklah segala amalan-amalan yang lain dan jika rosak solat maka turut rosak segala amalan yang lain"

Sabda Rasulullah lagi:

"Sesiapa menjaga solat dengan baik, solat itu memberi kepadanya cahaya, menjadi bukti dan bercahaya di akhirat nanti, jika sesiapa tidak menjaga solat tidak ada baginya cahaya, tidak ada baginya bukti dan kejayaan dan pada hari kiamat bersama Qarun, Firaun dan Ubai bin Khalaf"

Sabda Rasulullah lagi:

"Batas pemisahan antara seorang itu dengan kufur ialah meninggalkan solat"

Dari keterangan hadis di atas bahawa perintah solat ke atas setiap individu Muslim merupakan tanggungjawab yang paling besar dan utama terhadap Allah Taala malahan untung rugi nasibnya di alam akhirat bergantung kepada sejauh mana kesempurnaan solatnya, kerana Allah Taala menjadikan solat itu jalan untuk mencapai kemenangan dan kejayaan di dunia dan di akhirat. Menunaikan solat dengan sempurna itu akan memberi cahaya kepada hati, mendidik jiwa, mengajar seseorang itu akan adab-adab perhambaan dan menanamkan di dalam hati kebesaran Allah Taala.

Oleh itu setiap Muslim dan Muslimah hendaklah menunaikan solat masing-masing dengan betul dan sempurna sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Mereka mesti faham rukun dan syaratnya, sah dan batalnya, masbuk dan muwafiqnya dan jika dia menjadi makmum dan wajib dia mengetahui syarat-syarat menjadi imam jika dia hendak menjadi imam dalam solat jamaah dan jumaat.


HUKUM MENINGGALKAN SOLAT.

Memandangkan kedudukan solat adalah besar dan pokok agama, maka sebahagian sahabat Rasulullah dan sebahagian ulama tabien serta sebahagian daripada ulama kemudian berpendapat bahawa orang-orang Muslim yang meninggalkan solat dengan sengaja hukumnya kafir. Sahabat-sahabat yang berpendapat demikian seperti Umar bin Al-Khattab, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Abbas, Muaz bin Jabal, Jabir bin Abdullah dan Abu Darda'. Tetapi sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja selama tidak mengingkari tentang wajibnya maka orang itu adalah fasik, tetapi dia hendakah dipenjarakan sehingga dia menunaikan solat supaya tidak menjadi ikutan yang buruk kepada orang lain.

Imam-imam mazhab berpendapat bahawa wajib dibunuh ke atas orang meninggalkan solat dengan sengaja sebagaimana dijelaskan oleh As-Syeikh Muhammad Ahmad dalam kitabnya "MIFTAHUL KHITOBAH WAL WA'ZU".

Imam-imam mazhab mengatakan wajib dibunuh orang meninggalkan solat kerana kekufurannya seperti Ahmad bin Ishak dan Mubarak. Manakala yang mengatakan wajib dibunuh kerana menjalankan hudud seperti Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Abu Hanifah. Inilah hukum syariat Islam ke atas mereka yang mengaku berlindung di bawah naungan Islam sedangkan mereka dusta kerana tidak menunaikan salah satu rukun yang terpenting itu. Bagi kita, sebagai seorang yang faham syariat Allah Taala tidak merasa terkejut dan aneh apabila mendengar hukuman terhadap mereka yang meninggalkan solat dengan kufur atau fasik. Bertambah jelas lagi apabila kita memperhatikan kepada sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Ikatan Islam dan asas-asa agama itu ada 3 perkara. Di atas inilah tertegaknya Islam, barangsiapa meninggalkan salah satu daripadanya maka dia menjadi kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat yang diwajibkan dan puasa di bulan Ramadhan".

*karangan daripada buku "Masalah muwafiq dan masbuk" yang ditulis oleh Ustaz Hasan bin Ahmad.

Wednesday, July 23, 2008

DIALOG DENGAN JIN!!

Sebelum kita mendengar dialog di sebelah ini, ada beberapa fakta dan maklumat yang sangat digalakkan untuk kita semua ketahui:

Janganlah kita mendengar dialog ini hanya sekadar untuk bersuka-ria, sebaliknya ambillah beberapa manfaat dan iktibar daripadanya. Antara pengajaran yang boleh kita pelajari ialah:

- Bukti kewujudan Jin dan makhluk halus

- Bukti kewujudan ilmu sihir

- Bukti kewujudan makhluk halus yang sentiasa mengganggu manusia.

- Bukti bahawa salah satu kemu'jizatan Al-Quran ialah ia boleh dijadikan sebagai penawar dan rahmat

Di dalam Al-Quran dan Sunnah, terdapat banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang kewujudan jin, syaitan, iblis, roh dan ilmu sihir. Terdapat juga banyak dalil yang menunjukkan tentang merawat diri kita dengan ayat-ayat Al-Quran, dan doa-doa yang diajar oleh Nabi supaya melindungi diri kita dari kejahatan makhluk-makhluk-Nya, termasuklah gangguan jin, syaitan dan iblis.

Di antara Surah-surah yang sering kita baca ialah Surah Al-Falaq dan An-Naas. Jika diteliti akan maksud dan tafsirannya, kita boleh dapati pengajaran mengenai meminta perlindungan Allah s.w.t dari kejahatan jin, manusia dan juga sihir.

Dialog-dialog di sebelah ini diambil dari ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Jumadi Mustar di Auditorium Masjid Sultan, Singapura -2004. Di dalam ceramah-ceramah tersebut, pada sesi yang akhir, penganjur meminta supaya diadakan sesi rawatan terhadap mereka yang terkena gangguan di dalam diri mereka.

Persoalan Utama: Bagaimanakah Jin boleh berdialog dengan manusia?

Dalam cara rawatan Islam, perawat akan membacakan beberapa potong ayat-ayat Al-Quran supaya pesakit dapat mendengarnya dengan khusyuk. Bagi mereka yang ada gangguan, biasanya apabila dibacakan Al-Quran pada telinganya, si Jin, syaitan atau iblis yang berada di dalam tubuh si pesakit itu akan merasa panas dan lama-kelamaan dia tidak akan boleh bertahan dengan berdiam diri.

Maka timbul lah berbagai reaksi dari pesakit itu. Antaranya ialah pesakit akan rasa:

- pening-pening kepala

- mabuk

- muntah-muntah

- menggeletar

- pengsan

- seram-sejuk

- berdebar-debar

Sebahagian makhluk halus itu tidak tahan lalu terus meminjam lidah si pesakit untuk berkata-kata dengan si perawat. Biasanya, tujuan dia berkata ialah supaya dia dapat:

- Marah si perawat dan menyuruhnya berhenti membaca Al-Quran

- Menengking si perawat dan mencabarnya

- Meraung kesakitan (eg: Aduuuh!! Sakitnya!!)

- Meminta ampun dan minta supaya dia dilepaskan (Inilah yang kebanyakan berlaku)

Ringkasnya, makhluk tersebut lah yang berkata-kata dengan menggunakan lidah si pesakit.

Monday, July 21, 2008

DISEBALIK 27 REJAB

Allah S.W.T telah merakamkan di dalam Al-Quran suatu peristiwa penting yang telah berlaku 1400 tahun yang lalu.Peristiwa ini telah membawa ujian yang besar kepada keimanan dan keyakinan kaum muslimin serta suatu fitnah kepada golongan musyrikin.Pada ketika ingin bermulanya dakwah Islam,Allah telah menguji manusia dengan ujian dan mehnah yang cukup hebat.Di saat kaum musyrikin sedang mengatur langkah untuk menghalang dakwah Islam yang di bawa oleh Rasulullah,di taqdirkan oleh Allah berlakunya "Isra'-Mi'raj" terhadap tubuh badan Rasulullah.Peristiwa ini telah mengubat hati Rasulullah selepas berlakunya kewafatan isteri dan bapa saudara baginda yang telah berlaku pada bulan yang sama serta tekanan daripada penduduk Thoif pada ketika ingin menyeru mereka kepada Islam dan meninggalkan kejahilan.Peristiwa "Isra'-Mi'raj" ini merupakan salah satu daripada mukjizat hisiyyah yang telah Allah kurniakan kepada Rasulullah dan pada masa yang sama membuktikan kekuasaan dan keagungan kerajaan Allah S.W.T……Tuhan Sekelian Alam.

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambanya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami.Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

(Surah Al-Isra': 1)

Al-Isra' menurut Al-Imam Ibn Kathir ialah Rasulullah berpindah daripada Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Madinah dalam keadaan menunggang Buraq pada sebahagian malam kemudian kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.Adapun Al-Mi'raj ialah Rasulullah naik ke langit dari Masjidil Aqsa pada waktu malam selepas diisra'kan dan kemudian diangkat ke Sidratul Muntaha serta kembali semula ke Baitul Muqaddis pada malam yang sama.

Sekalian akan bertanya,mengapa Allah memperjalankan Rasulullah di waktu malam ketika manusia tidak mampu untuk melihat,tidak berkuasa untuk mendengar dan tidak berupaya diamati dengan pancaindera.Inilah suatu ujian besar kepada golongan yang beriman agar mereka yakin dan percaya kepada kekuasaan Allah dan kenabian Rasulullah yang tidak mampu untuk kita buktikan dan difikirkan oleh akal yang lemah melainkan mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul serta perkara-perkara ghaib.Itulah hakikat Islam,tidak semua mampu untuk difikirkan sebabnya dan disandarkan kepada material semata-mata.

"..demi Allah! Kalau dia memberitahu kepadaku sebarang berita yang datang dari langit ke bumi pada waktu malam mahupun siang,aku tetap mempercayainya.."

Kata-kata inilah yang telah keluar daripad lidah Saidina Abu Bakar.tanpa ada sebarang keraguan dengan berita yang dikhabarkan daripada Rasulullah.Oleh sebab keyakinan yang ditunjukkan daripada Saidina Abu Bakar serta membenarkan apa yang berlaku pada Rasulullah,maka baginda telah mengurniakan gelaran "As-Siddiq" kepada Saidina Abu Bakar.Suatu pengitirafan yang telah diberikan oleh Rasulullah kepada salah seorang sahabat di kalangan 10 yang dijanjikan masuk syurga-Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

MASJIDIL AQSA

Rasulullah diisra'kan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa seterusnya memimamkan solat para anbiya' merupakan suatu tanda tanya yang seharusnya dilihat dan dikupas dengan sewajarnya.Kenapa Allah tidak terus menaikkan Rasulullah dari Masjidil Haram ke langit tetapi menaikkan baginda dari Masjidil Aqsa?Suatu hikmah yang tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa perjalanan ini adalah bagi menunjukkan bahawa agama yang dibawa oleh junjungan Rasulullah mempunyai mata rantai yang bersambung dengan nabi-nabi terdahulu.Semuanya menyeru kepada keesaan Allah dan ubudiyyah yang hakiki.

"Adakah kamu hadir dikala Yaakob kedatangan(tanda-tanda) maut,ketika beliau berkata kepada anak-anaknya: " Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?" Mereka mejawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu Ibrahim,Ismail,Ishak (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepadanya.

(Surah Ibrahim: 133)

Masjidil Aqsa merupakan salah satu daripada tiga masjid yang menjadi keagungan dalam Islam.Masjid yang menjadi qiblat pertama bagi umat Islam telah termaktub di dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W: "Janganlah kamu bersungguh rehlah kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram,Masjidil Aqsa dan masjid aku ini(Masjidil Nabawi).Berdasarkan kepentingan ini maka Saidina Umar Al-Khattab R.A telah datang sendiri dari Madinah Al-Munawwarah untuk membuka pintu Baitul Maqdis dan Salahuddin Al-Ayubi membukanya buat kali ke dua.

Tetapi realiti kini Masjidil Aqsa berada dalam cengkaman Yahudi laknatullah.Yahudi suatu ketika dahulu merancang untuk membunuh Rasulullah,melakukan sihir kepada Rasulullah,yang membunuh Saidina Umar Al-Khattab,yang menimbulkan huru-hara dan fitnah di zaman Saidina Usman bin Affan dan membunuh nabi-nabi terdahulu.Pembebasan Baitul Maqdis adalah perlu dan wajib dilaksanakan.Kita yakin akan kemenangan kita berdasarkan sabda Rasulullah:"Tidak akan berlaku kiamat sehigga orang Islam berjumpa Yahudi lalu umat Islam membunuh mereka hinggakan mereka bersembunyi di sebalik batu dan pokok.Maka berkata batu dan pokok:"Wahai Muslim! Wahai hamba Allah! Ini dia Yahudi belakangku.Datang sini dan bunuhlah mereka".

Sunday, July 20, 2008

ISTIWA MATAHARI: 16 Julai 08 (5.28 ptg)

Allah Taala berfirman ertinya “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan dan kebijaksanaanNya) bagi orang-orang yang berakal” (Ali Imran : 190)

Fenomena istiwa matahari adalah salah satu tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Ilahi. Fenomena yang dikenal juga sebagai Istiwa A’dhim (Istiwa Agong) ini berada tepat di titik Zenith (Ghayah) semasa Istiwa (Tengahari/ Rembang). Peristiwa ini berlaku dua kali dalam setahun, iaitu pada tarikh dan masa apabila nilai sudut istiwa matahari bersamaan dengan nilai latitud Mekah. Pada ketika itu, bayang-bayang objek tegak yang terhasil di seluruh dunia akan membetuli arah kiblat, lantas memberi peluang kepada ummat Islam menyemak arah kiblat dari tempat masing-masing. Fenomena yang istimewa dan mengagumkan ini membolehkan kita, umat Islam menentukan atau menyemak arah kiblat masjid, surau dan juga rumah kediaman.

Panduan menentukan arah kiblat premis anda ialah seperti berikut : Pertama, tentukan tarikh dan waktu di Malaysia, iaitu pada 28 Mei 2008, Rabu bersamaan 22 Jamadilawal 1429h pada jam 5.16ptg dan pada 16 Julai 2008, Rabu bersamaan 13 Rejab 1429h pada jam 5.28ptg. Kedua, pilih satu tempat yang hendak disemak arah kiblatnya dan pastikan ia tidak terlindung dari sinaran cahaya matahari. Ketiga, pacakkan satu tiang di kawasan itu dan pastikan ia tegak 90 darjah dan lurus. Keempat, pada waktu yang dinyatakan, tentukan arah bayang yang terhasil daripada tiang tersebut. Kelima, arah kiblat anda adalah arah yang bertentangan dengan bayang yang terhasil daripada tiang itu.


Oleh kerana fenomena ini berlaku sebelah petang di Malaysia, bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Dengan ini, arah kiblat ialah arah yang menghala ke barat, selari dengan bayang yang terhasil. Selain dari menggunakan tiang yang anda pacakkan, anda juga boleh menggunakan tiang-tiang bendera, tiang-tiang lampu atau sisi-sisi rumah yang tegak untuk menyemak arah kiblat menggunakan kaedah ini.

Sila rujuk : Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman, Tingkat 6 Wisma PKNK, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar, Kedah. (Tel: 04-731 2800 / Faksimili: 04-732 0807)